Bolehkah Pesakit CKD Berpuasa?

Semoga bermanfaat untuk semua – sila share!

Amalan berpuasa telah diamalkan secara meluas sejak beribu tahun lalu. Antara niat berpuasa termasuk untuk agama, kesihatan dan penyucian. Bagi umat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan apa-apa makanan, minum dan daripada melakukan apa-apa yang boleh membatalkan puasa, bermula dari fajar (sebelum terbit matahari) hingga senja (maghrib) iaitu lebih kurang 14 jam sehari. Sepertimana yang kita tahu, tempoh dan corak ini hanyalah satu daripada pelbagai kaedah puasa yang diamalkan seluruh dunia.

Jenis-jenis puasa berlainan niat dan budaya boleh dikategorikan dalam beberapa jenis. Antara kaedah yang dikenali orang ramai adalah puasa basah atau water fasting, iaitu apabila minum air dibenarkan – ini selalunya dilakukan secara sukarela untuk memulihkan sistem imun badan atau sebelum mengambil ujian darah. Berpuasa dengan cara ini juga merupakan sebahagian daripada langkah untuk memenuhi upacara-upacara Veda yang tertentu di mana hanya susu atau air sahaja dibenarkan sepanjang tempoh berpuasa.

Puasa berkala pula, atau intermittent fasting (IF), bermaksud individu tidak akan makan dan minum dari 13 ke 18 jam, iaitu amalan yang sering dikaitkan dengan bulan Ramadan. IF juga merujuk kepada kaedah yang berbeza-beza, termasuk berpuasa untuk 8 jam sahaja ataupun hanya makan sekali sehari (untuk tempoh tertentu). Puasa yang dilaksanakan pada bulan Ramadan tidak sama dengan puasa berterusan (prolonged fasting), sejenis kaedah yang melebihi 24 jam dan juga dipraktikan oleh penganut Yahudi pada tarikh-tarikh penting dalam tradisi agama mereka.

Sudah terbukti menerusi pelbagai kajian, banyak manfaat kesihatan boleh diperolehi oleh amalan puasa, dari bacaan gula darah yang baik ke pencegahan kanser. Tapi apa kesannya pada pesakit CKD?

Sepertimana yang dapat dibaca di Panduan Diet CKD, pengambilan nutrisi yang betul amat penting buat pesakit CKD. Walaupun tanpa berpuasa, nutrisi tidak boleh diserap oleh badan dengan sempurna akibat fungsi buah pinggang yang lemah. Sekiranya keperluan nutrisi harian tidak dipenuhi, masalah seperti dehidrasi, ketidakseimbangan elektrolit dalam darah dan simptom-simptom lain akan timbul, menjejaskan lagi kesihatan pesakit.

Menurut kajian dari Nephrology Clinic of King Khalid University Hospital di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi1, pesakit CKD Tahap 3–5 yang berpuasa mengalami kemerosotan fungsi buah pinggang atau worsening renal function (WRF). Kajian tersebut menunjukkan bahawa “daripada 22 pesakit yang mengalami WRF, 8 beransur pulih manakala 14 masih ada tahap kreatinin tinggi yang berlarutan”.

Namun begitu, ramai pesakit masih memilih untuk berpuasa walaupun menghadapi pelbagai komplikasi kesihatan. Dengan cara yang betul dan pantauan rapat oleh pakar kesihatan, pesakit mampu berpuasa dengan selamat. Ini bermakna pesakit harus mengambil langkah berjaga-jaga dan berbincang terlebih dahulu dengan pakar dietetik atau doktor bagi memastikan sama ada mereka layak untuk berpuasa.

Di samping itu, sesiapa sahaja yang mengambil ubat preskripsi wajib berbincang dengan doktor sebelum berpuasa. Ingat bahawa antara masalah lazim yang timbul semasa berpuasa adalah cara pengambilan ubat yang tidak betul. Bergantung pada status kesihatan masing-masing, rejimen ubat-ubatan boleh diubahsuai untuk membolehkan berpuasa asalkan pesakit dipantau rapat oleh pakar kesihatan bagi mengelak komplikasi. 

Menurut doktor-doktor yang memberi pandangan mereka dalam sebuah artikel di majalah online SELF2, walaupun sesetengah jenis ubat mungkin boleh dimakan pada waktu sahur atau berbuka puasa, menyemak preskripsi bersama pakar perubatan terlebih dahulu adalah langkah yang tidak boleh diendahkan. Sesetengah dos dan rejimen untuk ubat-ubatan yang diambil secara kerap, seperti untuk merawat jenis kondisi jantung yang tertentu, boleh diubahsuai dengan mudah menjadi serasi dengan tempoh puasa anda – tetapi urusan perubatan sebegini wajib diserahkan kepada pakar kesihatan dan membuat kuputusan sendiri sememangnya mengundang bahaya.

Salah satu doktor di dalam artikel tersebut, Dr. Ali Nasir menjelaskan, oleh sebab sesetengah ubat-ubatan bergantung pada pengambilan air, garam atau gula (contohnya, insulin dan ubat diabetes yang lain), pemeriksaan jadual memakan ubat adalah perlu bagi mengelak dehidrasi atau tahap glukosa (gula) atau natrium (garam) rendah yang membahayakan. Jelas beliau lagi, seseorang dengan isu kesihatan atau yang perlu mematuhi sesuatu rawatan patut lakukan saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum mula berpuasa. Mengikuti prosedur ini, doktor anda mungkin menasihati anda tentang gejala atau kesan sampingan tertentu yang berkemungkinan/akan hadir daripada perubahan rutin ubat anda – ini termasuk tanda-tanda berisiko yang memerlukan anda untuk berbuka puasa.

Soal kesihatan sepanjang berpuasa perlu diambil berat, terutamanya oleh individu dengan sistem imun yang lemah. Namun ingatlah bahawa Islam adalah agama yang indah – Allah memberi ganjaran kepada hambaNya untuk niat mereka. Apabila keadaan atau simptom berkaitan dengan pengambilan ubat adalah sementara bagi anda tetapi perlu dirawat semasa Ramadan—contohnya kes kehamilan, masalah kesihatan berkaitan dengan haid atau penyakit akut seperti COVID-19—puasa yang ditinggalkan boleh diganti pada kemudian hari. Jika anda tidak dapat melaksanakan qadha puasa kerana usia tua atau penyakit kronik, pahala puasa masih boleh diperolehi melalui fidyah.

Ambil tahu dengan segera sekiranya anda tidak diberikan sebarang panduan tentang pengambilan ubat pada hari anda berpuasa. Sebagai langkah berjaga-jaga, layari Portal Rasmi Kerajaan Malaysia untuk panduan lazim ubat-ubatan.

Rujukan

  1. Bakhit AA, Kurdi AM, Wadera JJ, Alsuwaida AO. (2017, Jan) Effects of Ramadan fasting on moderate to severe chronic kidney disease. A prospective observational study. Saudi Med J. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5278065/
  2. Azmia Ricchuito. (2024, Mac 7) Fasting for Ramadan and Taking Medication: What to Know. SELF. https://www.self.com/story/can-you-take-medication-while-fasting-for-ramadan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

error: Content is protected !!