Kenali 9 Superfoods Yang Boleh Jadi Berbahaya! (Bahagian 3)

Sama ada dalam perubatan tradisional ataupun kitab suci, terdapat pelbagai jenis makanan yang disanjung. Kekayaan khasiat yang dijumpai dalam makanan-makanan ini membuatkan ramai orang pada zaman dahulu menganggap sebahagian daripadanya sebagai makanan para dewa, seperti coklat di dalam budaya Mesoamerika (kini Mexico dan Costa Rica antara negara lain) dan malah, ada yang dijadikan sebagai ubat, seperti barli yang digunakan secara meluas oleh tamadun Mesopotamia (kini Iraq).

Kita juga boleh lihat terdapat sesetengah makanan diberi kepentingan yang sama walaupun dalam agama berbeza – antaranya kurma dan anggur. Sama ada untuk upacara tertentu atau tujuan kesihatan, pengambilan buah-buahan ini biasa diamalkan oleh penganut agama Islam, Kristianiti, Hindu dan Buddha.

Semua makanan yang disebut di atas boleh dirangkumkan di bawah istilah ‘superfoods‘. Secara lazimnya, superfoods adalah makanan yang memiliki manfaat ajaib – namun, bukan semua orang tahu bahawa superfoods tidak semestinya sesuai untuk golongan-golongan tertentu! Perkara ini amat penting terutamanya bagi mereka dengan penyakit kronik dan/atau komplikasi kesihatan lain yang sedang mengambil ubat-ubatan.

Ingat, hanya kerana bahan itu semula jadi, tidak bermaksud ia selalunya bagus! Sebelum mencuba sesuatu makanan itu, anda perlu kenal dulu baik buruknya dan dapatkan nasihat pakar kesihatan. 

Dalam artikel ini yang akan diasingkan kepada tiga bahagian, kami berbincang tentang 9 superfoods yang popular untuk ketahui sama ada mereka bagus atau berbahaya.

7. TEH HERBA

Ramai penggemar teh tahu pelbagai bentuk nikmat yang boleh dirasai dengan teh, lebih-lebih lagi dengan pilihan perisa di pasaran yang kian menjadi menarik dengan campuran pelbagai bunga, herba dan rempah ratus. Istimewanya teh dengan apa jua perisa, teh boleh memaniskan waktu minum petang dan meningkatkan pengalaman ketika dalam suasana yang nyaman. Ramai di kalangan penggemar teh juga menganggap mereka boleh memperoleh manfaat kesihatan dari teh-teh tertentu, terutamanya jenis teh yang terdiri daripada bahan herba (termasuk rempah dan bunga) yang boleh dikategorikan sebagai superfood. Benar, meminum teh herba memang mendatangkan khasiat tetapi berhati-hati, meminum teh herba turut boleh mendatangkan risiko!

Sebelum mendalami baik buruk jenis-jenis teh, kita perlu memahami perbezaan antara teh dan teh herba. Teh diperbuat daripada tumbuhan Camellia sinensis dan mengandungi kafein (seperti green tea dan white tea), manakala teh herba (juga dipanggil tisane) adalah campuran herba, rempah ratus atau bunga – teh jenis ini bebas daripada kafein. Sejenis teh itu dianggap sebagai “teh betul” hanya jika ia mengandungi daun teh Camellia sinensis!

Satu perkara yang kita wajib tahu ialah bahan herba, rempah dan bunga berinteraksi dengan sistem badan dan interaksi tersebut berlaku pada tahap neurologi dan kimia – ini kerana kompoun dalam teh herba adalah aktif dan manfaat perubatan herba tersebut datang daripada kesan kuat daripada kimianya.

Dengan cara pengambilan yang tidak teliti (seperti dos dan tempoh penggunaan), teh herba yang sepatutnya membantu menjadi berbahaya. Malah, teh herba yang sering dianggap lembut dan ringan boleh memberi kesan yang kuat apabila diambil dalam dos yang lebih besar.

Sebagai contoh, chamomile dianggap teh lembut dan menenangkan pada waktu malam. Chamomile juga telah digunakan sejak zaman dinasti Mesir Kuno untuk sifat perubatannya. Manfaat kesihatan teh chamomile termasuk yang berikut: 

  • melancarkan penghadaman
  • sifat anti-radang
  • sifat antibakteria
  • mengurangkan tekanan
  • kesan positif pada kemurungan

Tetapi kesan sampingan mengambil teh chamomile dalam dos yang besar atau bersama ubat-ubat tertentu adalah serius. Ia termasuk risiko pendarahan jika diambil dengan ubat pencair darah seperti warfarin (Coumadin), clopidogrel (Plavix) dan aspirin, dan boleh menjadi berbahaya semasa kehamilan.

Ini adalah satu contoh keburukan di sebalik kebaikan teh herba — bergantung pada dos, bahan herba boleh menjadi bagus dan berbahaya. Di bawah adalah contoh lain:

  • SPEARMINT bagus untuk melegakan simptom loya dan meningkatkan kualiti rehat tetapi boleh memudaratkan kesihatan buah pinggang dan hati apabila diambil dalam dos yang tinggi. Sesetengah individu mungkin perlu mengehadkan atau mengelak menggunakan suplemen atau teh spearmint atas pelbagai sebab, seperti status kesihatan dan interaksi dengan ubat-ubatan – ini kerana suplemen dan teh biasanya mengandungi dos spearmint yang lebih tinggi daripada makanan berperisa spearmint.
  • GINSENG dikatakan boleh meningkatkan stamina dan mood. Namun, ia boleh mengurangkan keberkesanan ubat cair darah dan boleh menyebabkan pendarahan pada wanita selepas menopaus. Terdapat kes yang melaporkan pengguna ginseng mengalami pelbagai kesan sampingan, antaranya cirit-birit, insomnia, sakit kepala, degupan jantung yang cepat dan turun naik tekanan darah.
  • HALIA boleh membantu mengurangkan loya atau muntah-muntah, cirit-birit dan selsema. Namun, halia boleh berinteraksi dengan ubat cair darah seperti warfarin, aspirin, clopidogrel (Plavix) and rivaroxaban (Xarelto), dan ubat antiarrhythmic seperti amiodarone (Pacerone, Cordarone), ubat-ubatan untuk merawat tekanan darah tinggi dan diabetes. 
  • MORINGA mungkin mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, dari merawat gangguan mood dan sistem saraf hingga ke menguruskan paras gula dalam darah. Walau bagaimanapun, lebih kajian diperlukan untuk memastikan manfaat kesihatan moringa – sebuah terbitan akademik menyatakan herba ini dapat menyokong fungsi tiroid, namun ia juga boleh menimbulkan masalah jika seseorang sedang mengambil ubat tiroid lain.
  • SENNA sering digunakan untuk rawat masalah sembelit tetapi penggunaan yang melebihi seminggu boleh menjadi tidak selamat – kesan sampingan yang biasa adalah kram perut, rasa loya dan cirit birit, namun penggunaan herba ini untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit, membuat usus berhenti berfungsi secara normal dan akibatnya pergantungan pada laksatif (julap), dan kerosakan hati. Senna mungkin berinteraksi secara negatif dengan ubat cair darah, diuretik, ubat antiarrhythmic dan licorice root.
  • LICORICE ROOT dikatakan mampu membantu dalam pengurusan GERD, seperti melegakan acid reflux. Tetapi penggunaan untuk tempoh panjang boleh menyebabkan sakit kepala, keletihan, tekanan darah tinggi, dan malah, kerosakan buah pinggang dan serangan jantung – orang dengan masalah jantung, penyakit buah pinggang dan hipertensi lebih terdedah kepada risiko ini, maka mereka tidak dinasihatkan untuk mengambil licorice root. Herba ini boleh menjejaskan ubat cair darah, ubat hipertensi dan ubat kolesterol.

Perlu difahamkan bahawa badan kita tidak dapat membezakan antara bahan herba dan ubat – terlalu banyak teh herba mendatangkan kesan yang tidak diingini!

Berapa banyak teh herba yang boleh diminum sehari bergantung pada adunan dan kuantiti herba serta cara penyediaan yang digunakan untuk minuman tersebut. Mengambil tahu hasil berbeza yang boleh diberi oleh teh herba adalah penting: contohnya, kaedah merendam adunan teh herba selama 5 minit tidak dapat mengeluarkan khasiat sebanyak kaedah mereneh.

Teh herba mungkin bebas kafein, tetapi adalah lebih baik untuk kita pelajari bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu ramuan teh herba yang ingin diambil dan kesan sampingan yang boleh terjadi untuk tahu sama ada ia sesuai diambil berdasarkan sejarah dan status kesihatan anda.

Teh Herba Boleh Berinteraksi Dengan Ubat-ubatan

Interaksi teh herba dengan ubat-ubatan kebanyakannya tidak diketahui oleh orang awam. Kebanyakan orang tidak mengetahui atau memahami interaksi antara teh herba dan ubat-ubatan biasa. Tetapi kebanyakan kesan buruk teh herba sebenarnya datang daripada interaksi dengan ubat-ubatan! Contohnya, apabila digabungkan dengan teh herba, ubat cair darah boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang!

Kesan sampingan teh herba yang berinteraksi dengan ubat boleh mengancam nyawa. Oleh itu, memberitahu doktor anda tentang teh herba yang anda sedang mengambil adalah sangat penting.

Pendapat Penyelidik

Kajian yang meneliti jenis tumbuhan herba yang digunakan dalam tisane atau teh herba mendapati tidak semua herba selalu memberi kesan buruk. Namun, terdapat banyak kes yang boleh dijadikan sebagai peringatan dan terlalu banyak red flag untuk diabaikan!

Manfaat minum teh herba dihebahkan secara meluas tetapi risikonya jarang dikhabarkan. The National Institute of Health’s Library of Medicine menawarkan ringkasan tentang keberkesanan perubatan herba yang menyatakan: “Beberapa ekstrak herba tertentu telah terbukti berkesan untuk keadaan tertentu sahaja. Walaupun orang ramai sering salah faham dan percaya bahawa rawatan semula jadi sememangnya selamat, ubat-ubatan herba membawa risiko. Akhirnya, kita perlu tahu ubat herba mana yang mengundang lebih bahaya daripada kebaikan untuk sesuatu kondisi.”

Sebagai nota sampingan, WebMD memberi amaran tentang 5 suplemen herba yang berisiko: 

  • St. John’s Wort
  • Kava
  • Comfrey
  • Chaparral
  • Pennyroyal

8. BUAH TUNJUK LANGIT

Meranum secara luar biasa, ia tidak susah untuk faham mengapa buah ini diberi nama yang agak puitis. Secara saintifik, ia dipanggil Swietenia macrophylla, sejenis pokok yang sering tumbuh di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia. Tetapi secara umum, orang lebih mengenalinya sebagai sky fruit dalam bahasa Inggeris dan buah tunjuk langit dalam bahasa Melayu – ini kerana buah yang tumbuh pada pokok ini tidak tergantung secara biasa, mengikut graviti; sebaliknya ia seolah-olah mendongak ke langit!

Sementara mendalami buah tunjuk langit adalah penting, memahami pokoknya terlebih dahulu tidak kurang pentingnya. Berasal dari kawasan beriklim panas di Amerika Tengah dan Selatan, khususnya Mexico dan Bolivia, tumbuhan ini adalah satu daripada tiga spesies dalam keluarga pokok Mahogani yang menghasilkan kayu mahogani. Berwarna kemerah-merahan dan tahan lama, kita selalu nampak kayu mahogani ini dijadikan sebagai pelbagai produk, dari perabot dan alat muzik hingga ke keranda – malah, pokok ini juga biasa ditanam sebagai pokok teduhan dan hiasan di Asia Tenggara.

Semua bahagian tumbuhan ini ternyata berharga – jika pokoknya terkenal dengan sifat serba guna, buahnya pula cukup terkenal dengan manfaat kesihatan. Tetapi sejauh manakah kebenaran tanggapan ini?

Anda perlu Log Masuk atau mendaftar sebagai Member untuk terus membaca.

atau Daftar

Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2.

error: Content is protected !!