Kenali 9 Superfoods Yang Boleh Jadi Berbahaya! (Bahagian 2)

Sama ada dalam perubatan tradisional ataupun kitab suci, terdapat pelbagai jenis makanan yang disanjung. Kekayaan khasiat yang dijumpai dalam makanan-makanan ini membuatkan ramai orang pada zaman dahulu menganggap sebahagian daripadanya sebagai makanan para dewa, seperti coklat di dalam budaya Mesoamerika (kini Mexico dan Costa Rica antara negara lain) dan malah, ada yang dijadikan sebagai ubat, seperti barli yang digunakan secara meluas oleh tamadun Mesopotamia (kini Iraq).

Kita juga boleh lihat terdapat sesetengah makanan diberi kepentingan yang sama walaupun dalam agama berbeza – antaranya kurma dan anggur. Sama ada untuk upacara tertentu atau tujuan kesihatan, pengambilan buah-buahan ini biasa diamalkan oleh penganut agama Islam, Kristianiti, Hindu dan Buddha.

Semua makanan yang disebut di atas boleh dirangkumkan di bawah istilah ‘superfoods‘. Secara lazimnya, superfoods adalah makanan yang memiliki manfaat ajaib – namun, bukan semua orang tahu bahawa superfoods tidak semestinya sesuai untuk golongan-golongan tertentu! Perkara ini amat penting terutamanya bagi mereka dengan penyakit kronik dan/atau komplikasi kesihatan lain yang sedang mengambil ubat-ubatan.

Ingat, hanya kerana bahan itu semula jadi, tidak bermaksud ia selalunya bagus! Sebelum mencuba sesuatu makanan itu, anda perlu kenal dulu baik buruknya dan dapatkan nasihat pakar kesihatan. 

Dalam artikel ini yang akan diasingkan kepada tiga bahagian, kami berbincang tentang 9 superfoods yang popular untuk ketahui sama ada mereka bagus atau berbahaya.

4. BAYAM

Sama ada dijadikan masak lemak ataupun tumis air, bayam selalu menyerikan meja makan rakyat Malaysia. Sayur berwarna zamrud ini mula ditanam di Parsi kuno (kini Iran) lebih 2,000 tahun yang lalu, di mana ia dipanggil aspanakh – daripada sinilah lahirnya perkataan ‘spinach’ dalam bahasa Inggeris! 

Khasiat yang terdapat dalam bayam sememangnya mengagumkan dan disebabkan itu, ia telah menjadi antara superfoods yang paling terkenal di dunia. Sayur ini merupakan sumber Vitamin A dan C yang hebat, nutrien-nutrien penting untuk pelbagai fungsi dalam badan kita, dari kesihatan mata hingga ke sistem imun. Bayam juga kaya dengan asid folik (folic acid), iaitu sejenis vitamin yang memainkan peranan besar dalam fungsi otak dan kesihatan mental serta emosi.

Bukan itu sahaja, kehadiran antioksidan yang tinggi dalam bayam turut dikaitkan dengan aneka manfaat kesihatan – kaempferol telah terbukti dapat melindungi hati dan boleh mengurangkan risiko kanser serta penyakit kronik, quercetin mempunyai sifat anti-radang dan myricetin mampu menyokong kesihatan jantung.

Salah satu manfaat bayam yang sering dimegahkan juga adalah kandungan zat besi (iron) yang tinggi. Anda mungkin terfikir: jadi, ia bagus untuk mencegah anaemia dan boleh menggantikan daging merah dalam diet vegan. Walaupun ini adalah satu kepercayaan yang popular, ia tidak tepat sama sekali! Jenis zat besi yang terdapat dalam bayam adalah non-heme, bermaksud ia tidak dapat diserap oleh badan dengan baik, berbanding dengan zat besi jenis heme, iaitu zat besi di dalam daging haiwan. Malah, kajian menunjukkan hanya 2% zat besi (non-heme) daripada bayam diserap! Manakala, zat besi (heme) daripada makanan bersumberkan haiwan boleh diserap sebanyak 15–35%.

Di sebalik semua kebaikan bayam, ia adalah antara makanan yang mengandungi oksalat (oxalate) tertinggi! Ini agak membimbangkan kerana jumlah oksalat yang tinggi boleh mengganggu penyerapan vitamin dan mineral, dan menyebabkan batu karang terbentuk dalam buah pinggang.

Perlu diingat juga, bayam tinggi dengan Vitamin K, jadi pengambilan bayam tidak digalakkan untuk orang yang sedang mengambil ubat cair darah seperti warfarin. Ini kerana Vitamin K membekukan darah, manakala warfarin mencairkan darah! Interaksi antara Vitamin K dengan ubat cair darah boleh mendatangkan kesan yang tidak diingini.

Potassium dikatakan boleh membantu menguruskan tekanan darah tinggi dan bayam cukup penuh dengan mineral tersebut. Namun, sayur ini tidak sesuai bagi mereka yang perlu mengehadkan pengambilan potassium, seperti pesakit CKD (chronic kidney disease atau penyakit buah pinggang). Dalam 1/2 cawan, bayam yang sudah direbus masih mempunyai 420 mg potassium! Potassium berlebihan boleh mengakibatkan hiperkalemia, iaitu kondisi di mana seseorang akan merasa jantung berdebar, sesak nafas, sakit dada, loya, atau muntah. Hiperkalemia sering dialami oleh individu dengan masalah jantung dan/atau fungsi buah pinggang yang lemah.

5. HABBATUS SAUDA’

Sebut sahaja habbatus sauda’, ramai akan mengaitkan herba ini dengan makanan sunnah dalam agama Islam, iaitu makanan berkhasiat yang berasal dari al-Quran atau hadis. Tetapi ia sebenarnya memiliki sejarah panjang yang merentasi budaya, benua dan agama!

Nama saintifik habbatus sauda’ adalah Nigella sativa dan dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil black seed atau black cumin – ia juga dikenali sebagai raja segala penawar yang selama beribu-ribu tahun telah digunakan dalam perubatan tradisional, antaranya Ayurveda dan Siddha. Apa yang lagi menarik, keserbagunaan herba ini terserlah apabila ia turut ditemui dalam makam firaun Tutankhamun! Habbatus sauda’ merupakan antara bahan pengawet dalam proses mumifikasi kerana ia dipercayai mempunyai kesan antibakteria dan anti-serangga. 

Kini, habbatus sauda’ boleh didapati dalam bentuk minyak, kapsul dan serbuk, dan pengambilannya dikatakan mampu menyokong sistem imun dan melindungi tubuh daripada pelbagai masalah kesihatan. Tetapi masalah lain pula boleh timbul bagi mereka yang sedang mengambil ubat-ubatan tertentu – malah, ada kajian yang menunjukkan pesakit mengalami kecederaan buah pinggang akut atau acute kidney injury (AKI) akibat mengamalkan habbatus sauda’. Jadi, benarkah habbatus sauda’ ini selamat?

Anda perlu Log Masuk atau mendaftar sebagai Member untuk terus membaca.

atau Daftar

Belum baca Bahagian 1? Klik sini!

Baca Bahagian 3.

error: Content is protected !!