*Panduan Diet CKD

Bonus membaca setiap bahagian di halaman ini:

PROTEIN – mengetahui pentingnya mempelbagaikan sumber protein tumbuhan; termasuk pilihan ikan rendah merkuri dan cara pengambilan ikan yang selamat

SODIUM – senarai bahan-bahan semula jadi yang digunakan untuk mengurangkan penggunaan garam, gula dan penambah rasa

POTASSIUM – cara membuat kombinasi yang bijak untuk hidangan + senarai makanan/bahan masak lengkap dengan maklumat potassium; panduan mudah bagi anda yang perlu pantau pengambilan potassium atau sedang mengambil ubat-ubatan yang boleh mempengaruhi kadar potassium dalam darah (antaranya ACE inhibitors)

PHOSPHORUS – mengenali jenis phosphorus yang bahaya dan yang selamat; lengkap dengan corak pemakanan terbaik bagi anda yang perlu pantau pengambilan phosphorus

KARBOHIDRAT – bagaimana makanan karbohidrat menjadi sumber tenaga penting buat pesakit CKD bila protein haiwan perlu dihadkan: termasuk senarai pilihan karbohidrat yang sesuai untuk penjagaan diabetes

Mampu meningkatkan keyakinan semasa memasak, membeli barang dapur atau ketika menjamu di restoran

PENAFIAN: Kandungan di sini adalah maklumat yang dipermudahkan setelah dipilih dengan teliti dari sumber yang boleh dipercayai (disertakan dalam link berwarna hijau) mengenai pengurusan pemakanan CKD. Panduan ini bukan bertujuan untuk mencadangkan sebarang pelan diet kepada seseorang individu. Pesakit CKD perlu berbincang dengan pakar kesihatan mengikut kondisi kesihatan sendiri untuk memastikan jumlah keperluan nutrisi harian yang sesuai dengan status kesihatan dan peringkat penyakit untuk hasil yang selamat. Setiap individu dengan masalah buah pinggang adalah unik dan memiliki keperluan yang berbeza.

Kenali Diet CKD Tanpa Dialysis

Gaya pemakanan sihat CKD Tanpa Dialysis bermaksud menekankan pemantauan pengambilan protein haiwan (punca utama kadar kreatinin meningkat) dan mineral-mineral dalam jumlah yang sepatutnya, menjadikan ia berbeza dan unik dari segi sumber protein, porsi, pilihan makanan dan kaedah memasak. Jenis amalan ini selalu disarankan kepada pesakit CKD Tanpa Dialysis dengan terma diet buah pinggang atau dikenali dalam Bahasa Inggeris sebegai renal diet. Amalan ini juga selalu dikaitkan dengan low-protein diet.

Dalam menangani penyakit CKD, apa yang selama ini dianggap baik untuk kesihatan tidak semestinya boleh dipraktikkan — contohnya, lebihkan memakan sayur, satu tabiat pemakanan yang digalakkan, tidak semestinya bermanfaat untuk sesetengah pesakit CKD, malah boleh menjejaskan kesihatan mereka. Satu lagi tabiat pemakanan yang dikongsi orang ramai adalah untuk makan menggunakan Pinggan Suku-Suku Separuh; ia mungkin boleh digunakan sebagai panduan pengawalan porsi untuk CKD Tahap 2 dan 3, tetapi tidak sesuai untuk CKD Tahap 4 dan 5 (Tanpa Dialysis). Diet pesakit CKD yang tidak menjalani dialysis (atau Non-Dialysis) tidak boleh digunapakai oleh pesakit CKD yang menjalani dialysis.

Anda boleh lihat bahawa jenis diet sihat yang popular berkemungkinan tidak boleh diamalkan oleh pesakit CKD, malah diet CKD juga tidak boleh dikongsi antara sesama pesakit yang berada di tahap berbeza — ini disebabkan keperluan nutrien harian penghidap CKD bergantung pada peringkat penyakit dan ujian darah masing-masing. Ada pesakit CKD yang perlu mengurangkan pengambilan satu atau lebih mineral dari kumpulan elektrolit, ada juga yang perlu melebihkan pengambilannya — tetapi kebanyakan di kalangan pesakit CKD perlu mengurangkan memakan protein haiwan.

Oleh itu, ia amat penting bagi penghidap CKD atau penjaga untuk berbincang dengan pakar dietetik atau kesihatan terlebih dahulu tentang apa yang terbaik sebelum mengubah cara pemakanan. Individu dengan masalah buah pinggang juga biasanya akan dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang sediaan herba dan sesetengah produk suplemen kecuali dicadangkan oleh doktor. Sebarang perubahan diet atau ubat yang diperlukan mesti dibawa bincang dengan pakar kesihatan kerana ini melibatkan kesesuaian antara individu dengan ubat atau suplemen, serta pemantauan yang ketat.

Pengurusan Diet CKD Boleh Menjadi Mudah

Gaya pemakanan lebih sihat untuk pesakit CKD boleh diringkaskan sebagai: 1) kaedah masakan yang betul, 2) mengambil tahu jenis-jenis makanan yang perlu disukat dan kaitannya dengan bacaan ujian darah, dan 3) mengingati pengambilan air (jika perlu). Keberkesanan diet ini terletak pada kesedaran terhadap bahan-bahan yang diguna dan kesungguhan diri untuk mempelajari kaedah penyediaan dan kandungan nutrien di sebalik makanan dan produk. Selagi makanan atau minuman itu dari sumber semula jadi (atau sekurang-kurangnya yang berkualiti tinggi), sebarang hidangan yang hendak diambil tidak akan menjadi masalah, asalkan pesakit CKD tahu menganggar jumlah nutrien hidangan dan sentiasa beringat untuk menyukat hidangan pada setiap waktu makan (termasuk snek) pada hari itu agar tidak melepasi jumlah keperluan nutrien harian yang disyorkan oleh pakar dietetik. 

Pada tanggapan pertama, penyediaan makanan CKD mungkin agak rumit — untuk melengkapkan satu hidangan, kefahaman yang terperinci dan disiplin diperlukan kerana setiap bahan yang diguna mengandungi nutrien yang amat berbeza. Namun, cara menyukat atau menganggar makanan seimbang CKD adalah semudah menggunakan cawan (berukuran 250ml) dan tangan sendiri. Mengenali kaedah ini boleh menjadikan pengawalan porsi senang di rumah, malah boleh menjadi bermanfaat semasa berada di kedai makan atau membeli barang dapur.

Berikut adalah nutrien-nutrien asas yang perlu dipantau serta panduan penyediaan makanan dengan menggunakan kaedah tersebut:

Protein

Protein adalah penting untuk kesejahteraan fizikal — tanpa protein, otot menjadi lemah dan tulang menjadi rapuh. Antara makanan yang tinggi protein adalah daging merah (seperti daging lembu, daging kambing), ikan seperti ikan salmon dan juga produk tenusu, namun pilihan ini tidak sesuai untuk individu yang mengalami masalah buah pinggang. 

Dengan CKD, pengumpulan sisa protein yang berlebihan dalam darah menyebabkan kelemahan, loya, hilang selera makan dan perubahan rasa. Pesakit CKD selalunya akan dinasihatkan untuk mengikut gaya pemakanan vegetarian dan mengehadkan pengambilan protein haiwan, terutamanya daging merah yang sifatnya memudaratkan, agar gejala-gejala tersebut dapat dikurangkan — ini bermaksud di samping menumpukan kepada pengambilan protein berasas tumbuhan sebagai sumber protein utama, ia biasanya adalah lebih baik untuk pesakit CKD menghindari daging merah dan sebaliknya memilih makanan dari kumpulan daging putih (seperti telur ayam, ikan, ayam) untuk sumber protein haiwan. Mengubah tabiat pengambilan protein haiwan kepada 2–3 kali seminggu adalah ideal dan mengelak memakan daging merah (termasuk organ dalaman haiwan) adalah amalan yang perlu dipatuhi kerana daging merah akan meningkatkan kadar kreatinin dalam darah lebih cepat berbanding daging putih, lebih-lebih lagi jika daging itu digoreng. Bukan itu sahaja, daging merah mempunyai sifat keradangan yang boleh mempercepatkan progres kemerosotan fungsi buah pinggang.

Jadikan peringatan bahawa pengambilan protein yang secukupnya adalah penting bagi mencegah malnutrisi, salah satu risiko yang dihadapi pesakit CKD atas sebab jenis-jenis makanan yang mungkin perlu disukatkan dari sebahagian diet. Dengan perancangan yang teliti bersama pakar dietetik, diet berasaskan tumbuhan boleh memenuhi keperluan protein harian — tabiat yang selalunya perlu diamalkan pesakit adalah dengan mempelbagaikan sumber protein dari tumbuhan, seperti makanan dari keluarga kekacang (seperti tauhu dan kacang kuda) dan produk bijirin. Pilihan makanan karbohidrat (yang biasanya bersumberkan bijirin) yang bijak juga boleh membantu capai protein harian: contohnya, kita boleh perolehi 5g protein dari 1 cawan bijian jagung dan sebanyak 10g protein dari 2 keping roti bijirin penuh.

Walaupun low-protein diet sering digalakkan, adalah penting untuk mengambil tahu terlebih dahulu sama ada diet cara ini sesuai untuk anda. Sila berbincang bersama pakar kesihatan untuk kenal pasti apa yang terbaik untuk status terkini sebelum mengubah diet.

Sebagai nota sampingan, khasiat unik yang terdapat dalam ikan boleh menyokong kestabilan kesihatan individu dengan penyakit CKD dan ikan mungkin pilihan protein haiwan yang lebih baik untuk pesakit CKD yang menghidapi diabetes. (Ketahui lebih lanjut di sini.)

Di bawah adalah sukatan yang selalu disarankan kepada pesakit CKD

Pilihan ProteinSaiz untuk 1 Hidangan
Sumber haiwan3 auns atau bersamaan dengan 1 saiz tapak tangan (tidak termasuk jari) 
Sumber tumbuhan1/2 cawan

Walaupun cara sukatan ini selalunya digunakan di kalangan pesakit CKD, ia perlu diingati bahawa jumlah protein bagi setiap jenis makanan sumber haiwan dan tumbuhan adalah berbeza — kurangkan porsi jika hendak mengambil makanan tinggi protein, seperti ikan salmon dan daging ayam bahagian dada. Sebagai tip, kandungan protein dalam 1 hidangan (3 auns atau lebih kurang 1 saiz tapak tangan) ayam, daging atau ikan boleh mencecah 21g protein. Lihat senarai ini untuk membandingkan jumlah protein haiwan.

Sodium (Garam/Natrium)

Sodium atau garam wujud secara semula jadi di dalam hampir semua makanan, malah kadar pengambilan garam sudah pun mencukupi dengan kaedah semula jadi atau secara tambahan dalam masakan harian kita. Ia adalah sejenis mineral yang memainkan peranan penting dalam memastikan otot dan sistem saraf berfungsi dengan lancar serta mengekalkan keseimbangan cecair badan — kecuali apabila diambil terlalu banyak, antara masalah yang boleh berlaku selain tekanan darah tinggi adalah ketidakseimbangan sodium dan air dalam badan. Sodium dan air berlebihan akan menyebabkan pembengkakan pada badan yang dikenali sebagai water retention — masalah ini dialami sesetengah pesakit CKD kerana buah pinggang yang tidak lagi mampu menyingkirkan sisa sodium dengan sempurna.

Ia dikatakan jumlah had pengambilan garam harian yang terbaik buat pesakit CKD adalah sama dengan jumlah yang dihadkan untuk orang sihat, iaitu tidak melebihi 2,000-2,300mg (1 paras sudu teh) sehari. Satu cara untuk mengurangkan pengambilan garam yang berlebihan adalah dengan membiasakan penggunaan pati homemade (buatan sendiri) dan perisa semulajadi sebagai bahan penambah rasa masakan, seperti air rebusan tulang, perahan limau nipis, herba dan rempah ratus. (Klik di sini untuk ketahui bahan-bahan semula jadi yang digunakan untuk meningkatkan rasa sedap hidangan serta jenis-jenis pati yang sesuai untuk kesihatan buah pinggang).

Banyak makanan yang disediakan secara komersial boleh mengandungi sodium yang tinggi dan sememangnya perlu dielak — ini merangkumi makanan diproses ultra (ultra-processed food) seperti mi segera, nuget ayam, burger, hotdog, snek (seperti kerepek kentang dan keropok), produk berlauk dalam tin (seperti yang disediakan dengan sos atau krim), dan mana-mana makanan diawet yang biasa disajikan dalam budaya pemakanan masyarakat Malaysia, seperti ikan masin, ikan bilis, telur masin dan jeruk. Garam juga terdapat di dalam sumber lain seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain — garam dalam bentuk ini digelar sebagai ‘garam tersembunyi’. Maka ia adalah sangat penting untuk membaca label dan sentiasa membandingkan maklumat kandungan natrium (sodium) sebelum membeli makanan. 

Ingat bahawa kebanyakan makanan laut – kecuali ikan – juga mengandungi paras sodium yang tinggi secara semula jadi disebabkan habitat air masin mereka — berikut adalah contoh makanan laut tinggi garam yang berisiko dan berapa banyak sodium yang terdapat dalam 1 hidangan (3 auns):

Sebagai langkah berhati-hati, makanan-makanan ini (dan hidangan lain dengan jumlah sodium yang lebih kurang sama) seeloknya diambil dalam porsi yang sedikit dan/atau hanya pada acara istimewa. 

Jumlah sodium yang selalu disarankan untuk pesakit CKD
Tidak melebihi 2,000-2,300mg, dianggarkan bersamaan dengan 1 paras sudu teh sehari
*Jumlah garam yang perlu dikira adalah termasuk garam yang wujud secara semula jadi

Potassium

Anda perlu Log Masuk atau mendaftar sebagai Member untuk terus membaca.

atau Daftar

error: Content is protected !!