Kacang soya dan produk soya dilihat sebagai makanan ruji dalam budaya pemakanan Asia – dan ini bukan satu perkara asing di Malaysia, di mana seseorang boleh merasai nikmat pelbagai sajian yang berasaskan soya. Dari sambal tempe, air soya cincau hingga ke tauhu sumbat, kacang soya sememangnya memiliki tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia (dan juga pengamal diet vegetarian!) Di sebalik penyediaan menarik setiap sajian soya adalah kandungan nutrien yang tidak kurang menariknya: kaya dengan kumpulan Vitamin B (B complex), serat (fibre), potassium, magnesium dan protein yang berkualiti tinggi.
Bergantung juga pada jenis produk soya, jumlah nutrien adalah berbeza – jika anda sedang membaca sebagai Member alYAQIN, klik sini untuk tahu jumlah protein, potassium dan lain-lain dalam susu soya, tauhu keras, tauhu lembut dan tempe.
Namun, kacang soya bukanlah pilihan sesuai untuk semua orang, baik atas sebab citarasa ataupun isu kesihatan. Kalau bukan diet yang perlu diubah demi mengurus penyakit yang dihidapi, ada di kalangan kita yang perlu jauhi daripada kacang soya untuk elak reaksi alergi.
Alergi soya atau alahan soya merupakan sejenis alahan makanan yang lazim berlaku, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Kebanyakkan kanak-kanak selalunya akan membesar secara normal dan tidak lagi akan mengalami alahan terhadap kacang soya, namun terdapat juga sesetengah individu yang kekal alergik kepada tumbuhan ini seumur hidup mereka.
Apabila seseorang dengan alahan soya terdedah kepada kacang soya, protein dalam tumbuhan ini akan mengikat antibodi IgE yang dihasilkan oleh sistem imun. Ini seterusnya akan mencetuskan gerak balas keimunan dan mendatangkan kesan alahan yang boleh menjadi ringan atau sangat teruk. Antibodi IgE, iaitu singkatan dari immunoglobulin E, memainkan peranan penting dalam tindak balas sistem imun terhadap alergen dan jangkitan parasit.
Antara kesan dan gejala sederhana berpunca daripada alahan makanan adalah seperti berikut:
- Bibir, mata dan muka bengkak
- Gatal-gatal pada kulit
- Sakit perut
- Muntah-muntah
Walaupun jarang, tindak balas alahan juga boleh menjadi teruk dan malah, berpotensi mengancam nyawa. Kondisi ini dikenali sebagai anaphylaxis, dengan tanda-tanda seperti:
- Sukar bernafas atau nafas berbunyi
- Lidah bengkak
- Tekak bengkak
- Batuk berlarutan
- Sukar bercakap
- Pening berterusan
- Pucat
Gejala ini biasanya berlaku dengan cepat dalam jangka masa beberapa minit hingga beberapa jam selepas pengambilan makanan. Satu-satunya ubat yang boleh merawat anaphylaxis ialah epinefrin (adrenalin), diberi melalui penyuntik automatik sebaik sahaja gejala kelihatan.
Jika anda atau anak anda mengalami salah satu daripada gejala ini, dapatkan rawatan perubatan kecemasan dengan segera.
Alahan soya adalah tindak balas abnormal badan terhadap protein yang terdapat dalam kacang soya. Oleh sebab soya dipanggil “kacang” dan merupakan sejenis legum, ia tidak menghairankan mengapa sesetengah orang dengan alahan soya mungkin tertanya-tanya sama ada mereka juga harus mengelak kacang tanah, satu lagi legum yang merupakan punca alahan yang biasa. Jawapannya adalah: “Tidak semestinya.”
Kacang soya dan kacang tanah adalah makanan yang berbeza, dan pencetus alahan yang terdapat pada tumbuhan-tumbuhan ini tidak berkaitan. Kacang soya juga tidak berkaitan dengan kacang pokok atau lebih dikenali sebagai tree nut (seperti badam, walnut dan gajus). Seseorang yang mempunyai alahan terhadap soya tidak bermaksud mereka turut alah kepada tree nut dan tidak semestinya mereka lebih berisiko tinggi untuk mengalami alahan terhadap tree nut atau kacang tanah berbanding alahan makanan lain.
FAHAMI PERBEZAAN ANTARA KACANG SOYA, KACANG TANAH dan KACANG POKOK
Sepertimana yang anda mungkin sudah tahu, kacang tanah (peanut) dan kacang pokok (tree nut) adalah dua lagi punca alahan yang lazim, menyebabkan sistem imun bereaksi secara berlebihan terhadap protein yang ditemui dalam tumbuhan-tumbuhan tersebut. Tetapi sekali lagi, mengenali perbezaannya adalah penting untuk memahami dengan lebih baik!
Protein yang terdapat dalam kacang tanah tidak sama dengan protein dalam tree nut, seperti kacang badam, kacang gajus, kacang hazel (hazelnut), pistachio dan walnut. Ini kerana tree nut adalah kacang yang tumbuh dan masak di atas pokok (jelas kenapa ia dipanggil kacang pokok atau tree nut!), manakala kacang tanah tumbuh di bawah tanah. Ini juga bermaksud individu dengan alahan kacang tanah tidak selalunya alah terhadap tree nut atau kacang soya. Sama seperti individu dengan alahan tree nut, mereka tidak semestinya mempunyai alahan terhadap kacang tanah atau kacang soya.
Namun begitu, jadikan peringatan bahawa kacang soya merupakan sejenis legum – walaupun kebanyakan orang dengan alahan soya tidak mengalami kesan buruk dari pengambilan legum, sensitiviti terhadap sejenis legum juga boleh menandakan sensitiviti terhadap legum lain, termasuk kacang tanah. Bagi anda yang telah didiagnos dengan alahan soya, dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan untuk tahu sama ada anda perlu elak pengambilan legum lain.
Antara contoh legum lain adalah kacang panjang, kacang kuda, kacang dhal, kacang merah, kacang ginjal atau kacang buah pinggang (kidney beans), kacang hijau dan kacang pis. Bahan-bahan yang lebih dikenali sebagai herba seperti halba dan akar manis (liquorice) tergolong dalam kumpulan legum.
LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN REAKSI ALAHAN
Individu dengan alahan soya tidak patut mengambil soya dalam apa jua bentuk sekalipun – ini merangkumi makanan seperti susu soya, kicap, taucu, yogurt atau ais krim soya, miso, tempe dan tauhu. Sentiasa baca senarai ramuan dan maklumat lain yang ada pada label produk untuk pastikan sama ada ia mengandungi soya.
Sesetengah produk menyertakan informasi alergen seperti “contains soy (mengandungi soya)”. Sekiranya tidak ditemui, adalah penting bagi mereka dengan alahan soya untuk ambil tahu jika produk makanan itu mengandungi bahan-bahan seperti berikut:
- Hydrolyzed soy protein
- Miso
- Kacang soya (Edamame)
- Natto
- Albumin soya (Soy albumin)
- Keju soya (Soy cheese)
- Serat soya (Soy fibre)
- Yogurt soya (Soy yogurt)
- Ais krim soya (Soy ice cream)
- Tauhu (juga dikenali sebagai bean curd)
- Shoyu
- Tepung soya (Soy flour)
- Soy grits
- Soy nuts
- Susu soya (Soy milk)
- Tauge kacang soya (Soy sprouts)
- Soy protein concentrate
- Soy protein isolate
- Soy protein hydrolyzed
- Kicap (Soy sauce)
- Tamari
- Tempe
- Textured vegetable protein (TVP)
Mengeluarkan kacang soya daripada diet harian tidak membawa masalah untuk individu yang mengutamakan pengambilan protein haiwan. Jika anda alah terhadap kacang soya tetapi perlu bergantung pada protein bersumberkan tumbuhan atas faktor tertentu, jadikan peringatan bahawa menyingkirkan produk soya daripada diet tanpa pengganti yang sesuai boleh mengakibatkan kekurangan zat makanan. Adalah terbaik untuk anda berbincang dengan pakar dietetik untuk dapatkan nasihat dan pelan pemakanan yang seimbang.
alyaqin.info adalah website kesihatan yang juga menyediakan Panduan Diet CKD, sebuah halaman maklumat nutrisi untuk penghidap penyakit buah pinggang. Disebabkan pesakit CKD mungkin perlu pantau pengambilan elektrolit seperti potassium dan phosphorus, memilih makanan, seperti kacang dan legum, yang sesuai boleh menjadi satu cabaran. Bagi anda yang sudah menjadi Member alYAQIN, anda boleh klik sini untuk akses senarai barang dapur di Panduan Diet CKD untuk membandingkan kandungan nutrisi mengikut keperluan sendiri.
PENCEMARAN SILANG (CROSS-CONTAMINATION)
Individu dengan alahan soya juga perlu ambil langkah berjaga-jaga dengan cara penyediaan sesuatu makanan, walaupun makanan atau produk makanan itu tidak mengandungi kacang soya sebagai ramuan. Ini kerana pengambilan makanan yang telah terdedah kepada sisa kacang soya masih boleh mencetuskan reaksi alahan – gejala alahan yang timbul selepas pendedahan jenis ini adalah disebabkan oleh pencemaran silang (cross-contamination). Ketahui faktor yang membawa risiko pencemaran silang:
- makanan dan produk yang tidak mengandungi kacang soya juga boleh tercemar ketika pemprosesan kerana penggunaan peralatan yang sama untuk pelbagai bahan – bermakna pendedahan terhadap kacang soya boleh berlaku secara tidak sengaja dari pengambilan sesuatu produk makanan. Satu cara baik untuk elak alergen adalah untuk memilih produk dengan label dengan kenyataan seperti “diproses dalam kilang yang juga memproses soya”.
- pencemaran silang berlaku apabila makanan itu telah digoreng dalam jenis minyak tertentu – jika makanan yang mengandungi soya digoreng dalam minyak, minyak itu akan menyerap protein soya yang tertentu; jika makanan lain yang tidak mengandungi soya kemudiannya digoreng dalam minyak yang sama, mengambil makanan tersebut boleh mencetuskan reaksi alahan
- makanan yang berisiko tinggi untuk pencemaran silang adalah makanan yang disediakan di restoran atau tempat makan di luar – ini terutamanya benar dengan tempat makan yang menghidangkan menu Asia
Risiko alahan terhadap lesitin soya (soy lecithin) dan minyak soya pula adalah rendah, walaupun ada kemungkinan gejala alahan untuk timbul. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan individu dengan alahan soya boleh mengambil produk yang mengandungi soy lecithin dan minyak soya tanpa masalah – ini kerana bahan-bahan ini berasal daripada lemak soya, manakala orang dengan alahan soya bertindak balas terhadap protein dalamnya. Bincang dengan pakar kesihatan anda untuk pastikan sama ada anda perlu elak produk-produk yang mengandungi soy lecithin atau minyak soya.
Kacang soya dan produk soya juga terdapat dalam beberapa sumber yang tidak disangka:
- Ubat-ubatan
- Produk kosmetik
- Produk penjagaan diri, seperti sabun dan pelembap muka
Jangan sesekali membuat ujian sendiri untuk mengetahui sama ada sesuatu makanan boleh mencetuskan alahan! Apabila alahan makanan disyaki, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor yang boleh menentukan ujian mana yang perlu dilakukan, seperti ujian darah untuk mengesan tahap antibodi (IgE) dan ‘ujian suntikan kulit’ (skin prick test). Menurut portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, ujian-ujian ini akan membantu doktor memastikan sama ada alahan wujud dan doktor boleh menasihati pesakit mengenai pengurusan alahan sebaik sahaja diagnosis disahkan.
Untuk panduan umum untuk alahan makanan, sila rujuk kepada Alahan Makanan di portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.